Oleh : Alva Farira (The Owner Of This Story)
Alasan ‘Awak Terlalu Baik Untuk Saya’, satu alasan yang agak popular dan selalu digunakan di kalangan muda-mudi tidak kira perempuan mahu pun juga lelaki untuk menolak cinta seseorang atau pun meninggalkan kekasih mereka. Adakah benar mereka tidak mahu pasangan yang baik buat diri mereka? Adakah seseorang itu perlu menjadi jahat supaya diterima cinta mereka? Hanya mereka yang memberi alasan tersebut sahaja yang tahu.
Novel ini mengisahkan seorang gadis yang bernama Aina yang telah ditinggalkan oleh kekasihnya dengan memberikan satu alasan yang berbunyi ‘Awak Terlalu Baik Untuk Saya’. Alasan itu membuatkan fikirannya timbul bermacam-macam pertanyaan serta seribu satu persoalan. Johar, seorang jejaka yang datang dari keluarga yang agak berada tetapi agak sederhana sahaja rupa parasnya juga sering menjadi mangsa ditolak cinta oleh gadis-gadis yang ingin didekatinya dengan alasan yang sama juga. Pertemuan di antara mereka berdua pada suatu hari telah membuahkan satu persahabatan yang erat di antara mereka berdua, lebih-lebih lagi mereka berdua pernah merasai pengalaman ditolak cinta dengan alasan yang sama iaitu ‘Awak Terlalu Baik Untuk Saya’.
Sejauh manakah Aina & Johar dapat mencari erti & memahami maksud yang tersirat di sebalik ayat hikmat tersebut yang menjadi igauan dan mempengaruhi kehidupan mereka berdua? Serta berjayakah mereka berdua menemui cinta sejati yang menjadi dambaan mereka selama ini……?!
——————-
“Awak terlalu baik untuk saya….,”
Kedengaran seorang lelaki telah mengucapkan ayat tersebut kepada kekasihnya ketika kedua-dua mereka sedang berbual-bual di bawah sebuah pokok besar tepi tasik bertempat di Taman Tasik Titiwangsa. Berbual sambil menikmati keindahan tasik tersebut.
“Razzi, apa yang awak cakapkan ni, saya benar-benar tak faham?,” tanya gadis yang menjadi kekasih kepada lelaki bernama Razzi itu.
“Aina….,”
Kedengaran sebak dan tersekat-sekat suara Razzi ketika menyebut nama kekasihnya itu.
“Kenapa ni Razzi, apa yang awak nak cakap sebenarnya?,” tanya Aina kepada Razzi. Kata-kata Razzi tadi membuat dirinya berasa benar-benar bingung dan pelik, kenapa tiba-tiba sahaja teman lelakinya itu berkata sedemikian?
“Saya rasa sampai di sini sahajalah perhubungan kita. Apa-apa pun saya tak sanggup tengok awak sedih sebab awak terlalu baik untuk saya. Awak carilah lelaki lain yang lebih baik daripada saya,” jawab Razzi kepada Aina.
“Awak…. apa awak cakap ni…. saya tak faham langsunglah dengan awak ni?!,” tanya Aina yang nampak kehairanan.
Rasa hairan dan bingung Aina semakin bertambah-tambah apabila mendengarkan kata-kata Razzi itu tadi. Seribu satu persoalan pasti hinggap di fikiran Aina ketika ini. Apa yang membuatkan Razzi tiba-tiba melafazkan kata-kata yang bukan-bukan kepada Aina? Kata-kata yang agak abstrak dan sukar difahami maksudnya.
“Apa salah saya yang membuatkan awak tiba-tiba cakap macam ni? Kalau saya ada buat apa-apa salah dan silap kepada awak, saya mohon awak maafkan saya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki,” Aina memohon kemaafan daripada Razzi.
“Awak tak salah apa-apa pun, Aina. Sikit pun awak tak pernah sakitkan hati saya
dan buat jahat kat saya. Awak mungkin ada nakal-nakal dan usik-usik saya sebelum ini, tapi saya tak pernah ambil hati serta rasa sakit hati dengan perbuatan awak itu. Saya anggap semua itu cuma gurauan semata-mata, untuk mengeratkan lagi hubungan kita berdua,” jelas Razzi kepada Aina dengan bersungguh-sungguh.
“Dah tu kenapa awak tiba-tiba saja nak putuskan hubungan kita ini? Lebih kurang tiga tahun kita bahagia bersama selama ini. Sampai hati awak buat saya macam ini, biarkan saya terkontang-kanting keseorangan ditinggalkan awak begitu sahaja! Awak memang kejam Razzi! Awak memang pentingkan diri awak sendiri saja!,” bentak Aina menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Razzi. Kata-kata dan perbuatan Razzi tersebut benar-benar menyakitkan hatinya.
Sejurus saja dimarahi Aina, Razzi pun memegang erat kedua belah tangan Aina, barangkali untuk memujuk Aina yang sedang dalam kemarahan itu.
“Saya memang sayangkan awak, sangat sayang kepada awak, bahagia bersama awak selama ini. Setelah sekian lama bersama awak, saya rasakan diri saya begitu kecil, rendah diri di mata awak, sebab awak terlalu baik kalau nak dibandingkan dengan saya ini. Saya rasa benar-benar tak layak berada di samping awak, awak lebih layak bersama dengan seorang lelaki yang baik, jauh lebih baik daripada diri saya yang hina ini. Awak lupakanlah saya, carilah lelaki lain yang lebih baik daripada saya dan mampu membahagiakan diri awak selama-lamanya.,” Razzi memberikan penjelasannya kepada Aina.
Aina yang mendengar penjelasan Razzi tersebut, tergamam dan kelu tidak berkata, barangkali penjelasan yang diberikan Razzi tersebut membuatkannya berasa terharu. Adakah Aina masih marahkan Razzi? Cuma hatinya saja yang tahu.
” Selamat tinggal Aina, jaga diri baik-baik,”
Razzi melafazkan kata-kata tersebut dengan suaranya yang agak sebak dan sedih sambil melepaskan lembut tangan Aina yang dipegang eratnya tadi. Matanya kelihatan basah berlinangan air mata disebabkan rasa sedih yang amat sangat. Sedangkan Aina pula kelihatan terpancar seribu satu kehairanan & kebingungan di wajahnya ketika itu.
“Saya dah nak balik ke rumah ni. Kena balik cepat sebab ada kerja pejabat nak dibuat di rumah. Terpaksa bawa balik ke rumah sebab tak sempat nak habiskan lagi pun bos saya nak segera kerja tu, dah buat overtime pun masih tak sempat nak habiskan. Tadi kita datang bersama naik kereta saya, biar saya hantar awak pulang ke rumah ya,” Razzi menawarkan diri untuk menghantar Aina pulang ke rumah dengan menaiki keretanya.
“Tak apa, awak baliklah seorang. Saya boleh naik teksi je. Tak payah nak susahkan diri
hantar saya balik rumah,” Aina menolak pelawaan Razzi itu, dengan nada yang agak kasar. Nampaknya Aina memang masih marahkan Razzi disebabkan kejadian itu tadi.
Sejurus sahaja menawarkan diri untuk menumpangkan Aina dan ditolak mentah-mentah, Razzi pun berlalu pergi dengan terus sahaja menaiki keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta yang berhampiran dalam keadaan bermuka sedih dan tergesa-gesa meninggalkan Aina keseorangan. Aina ketika itu diam terpaku dan membisu seribu bahasa, terkejut serta terpinga-pinga akibat penangan ayat misteri yang menimbulkan seribu satu tanda tanya berbunyi ‘Awak Terlalu Baik Untuk Saya’ itu.
Apakah maksud yang tersirat di ayat misteri itu? Mungkin hanya Razzi sahaja yang tahu. Razzi yang memecut laju keretanya meninggalkan tepi tasik itu yang mungkin menjadi tempat pertemuan terakhirnya dengan Aina mula menjauh dan tidak kelihatan lagi di situ, jauh dari pandangan mata Aina. Aina pula masih berdiri keseorangan di bawah pokok besar di tepi tasik tersebut yang menjadi saksi pertemuan terakhir mereka berdua tadi.
Kelihatan air mata mula membasahi kelopak mata Aina sedikit demi sedikit dan kemudian mula bertakung dengan banyak sekali sehingga mula membasahi pipinya. Aina berasa amat sedih sekali dengan kejadian yang menimpanya sebentar saja tadi. Hatinya berasa amat pilu dan sakit sekali bagaikan dihiris sembilu akibat ditinggalkan begitu sahaja oleh Razzi, jejaka yang telah bertakhta dihatinya selama ini.
Selama lebih kurang tiga tahun mereka berdua menyulam cinta sejak di zaman universiti sampailah di zaman bekerja sekarang ini. Bersama- sama membina mahligai cinta yang tersergam megah dan indah. Mahligai cinta yang megah berdiri kukuh dan tidak akan runtuh dengan begitu mudah sekali.
Tetapi hari ini, tidak sampai satu jam pun pertemuan terakhir mereka di tepi tasik itu tadi, menghancurkan terus mahligai cinta yang dibina teguh selama ini begitu sahaja. Mahligai cinta yang kukuh lagi teguh itu hancur berkecai begitu sahaja bagaikan dihentam ombak tsunami akibat penangan daripada satu mantera hikmat lagi sakti yang berbunyi………
“AWAK TERLALU BAIK UNTUK SAYA…. ,”
Kata-kata hikmat Razzi tersebut terus bermain dan terngiang-terngiang di dalam fikiran Aina dan membuatkan hatinya cukup tidak tenteram sekali.
“AWAK TERLALU BAIK UNTUK SAYA…. ,”
“AWAK TERLALU BAIK UNTUK SAYA…. ,”
“AAARRRRRRRRGGGGGGGGGGGGGHHHHHHHHHHH!!!!!!!!!!!,”
Aina menjerit di dalam hatinya akibat fikirannya diganggu oleh kata-kata hikmat Razzi itu. Mahu saja dia bertempik menjerit sekuat hati untuk melepaskan segala kemarahannya yang terpendam itu, supaya lega rasa hatinya daripada rasa sakit menahan sembilu yang dilepaskan oleh Razzi sehingga mencucuk dalam sampai pedih hatinya. Walaupun dengan sedaya upayanya cuba menahan kesakitan di hatinya itu, akhirnya Aina tidak dapat menanggung dan menahannya lagi.
“RAAAAAZZZZZIIIIIIIIIII!!!!!!!!!!!!!! AKU BENCI KAU!!!!!!!!!!!!!!!,\”
Tiba-tiba sahaja kedengaran tempikan kuat daripada Aina, tanpa rasa malu menjerit berseorangan memarahi Razzi yang sudah tiada bersamanya lagi di tepi tasik itu dengan serta merta tanpa disedari oleh dirinya sendiri. Nampaknya, kelakuannya itu tadi adalah di luar kawalan dirinya sendiri akibat dikuasai perasaan marah yang menghantui dirinya.
“Fuhhh…. lega rasanya hati,” Aina berkata sendirian di dalam hatinya.
Sungguh lega rasa dihatinya setelah meluahkan semua kemarahannya terhadap Razzi itu. Dilepaskannya segala perasaan marah, kecewa dan sedih terhadap Razzi, lelaki yang amat menjadi pujaan hatinya selama ini. Tiba-tiba muka Aina merah padam…… rasa malu tiba-tiba muncul di dirinya.
“Alamak, ada orang nampak aku terpekik terlolong macam hantu pontianak kat tepi tasik ni tak? Malu besar aku kalau ada orang nampak, silap-silap orang lain ingat aku ni orang gila nanti,” bisik Aina dihatinya.
Aina pun memerhatikan keadaan sekelilingnya. Dilihatnya…. tiada orang ramai yang berhampiran dengan dirinya. Kalau ada pun sangat berjauhan di kawasan seberang tasik dan disudut yang lain sana, semuanya sibuk dengan hal masing-masing. Muda-mudi yang datangberpasangan semua sibuk dengan pasangan masing-masing. Golongan berkeluarga pula sibuk melayan telatah comel anak-anak mereka bermain di sana. Ada
juga yang datang secara berseorangan atau berkumpulan bersama dengan kawan-kawan,
dengan tujuan untuk beriadah, berjoging, melepak dan juga termenung sambil memerhatikan keindahan tasik itu.
“Fuhhh, nasib baik…,” Aina berkata sendirian.
Nasib baik tidak ada orang di kawasan di tepi tasik tempat pertemuan terakhir Aina dan Razzi tersebut. Sekiranya ada, sudah tentu Aina akan disangka gila dan diketawakan orang ramai di sekeliling beramai-ramai. Bukan itu saja, boleh jadi juga mungkin akan ditahan polis atas alasan mengganggu ketenteraman awam malah juga mungkin akan dihantar terus ke hospital sakit jiwa dan dianggap sebagai pesakit mental.
Aina pun lantas beredar pergi dari tepi tasik itu untuk balik ke rumah sewanya demi untuk menenangkan fikirannya yang sedang bercelaru dan tidak tenteram itu. Juga untuk memikirkan kenapa dia ditinggalkan begitu sahaja oleh Razzi serta maksud tersirat ayat hikmat Razzi itu.
Sebelum pulang ke rumahnya, Aina pun berhenti seketika di sebuah gerai menjual minuman dan makanan ringan di kawasan yang berdekatan dengan tasik tersebut, mungkin untuk membeli sedikit makanan ringan bagi mengalas perutnya.
“Akak, kira semua ni,” Aina membuat pembayaran untuk beberapa pek makanan ringan yang dibelinya kepada jurujual di gerai tersebut. Kelihatan lebih kurang dua puluh pek makanan ringan bersaiz besar yang dibelinya! Nampak banyak. Mungkin Aina membeli makanan ringan saiz besar sebanyak itu untuk dimakan bersama dengan rakan-rakan serumah di rumah sewanya.
“Banyaknya beli dik, nak buat parti ke beli banyak-banyak makanan ringan saiz besar ni?,” tanya penjual di gerai tersebut, dengan tujuan saja-saja untuk beramah mesra dengan pelanggannya.
“Nak makan semuanya sekalilah! Makan seorang diri! Sibuk betul lah akak ni tanya! Suka hati oranglah nak buat apa pun,” jawab Aina dengan marah sekali, mungkin kerana masih dipengaruhi oleh kemarahannya terhadap Razzi itu. Marahkan orang lain, orang lain yang terkena tempiasnya. Kasihan akak penjual gerai itu dimarahi oleh Aina begitu sahaja.
“Akak minta maaf sebab tanya adik macam tu,” penjual di gerai tersebut meminta maaf atas pertanyaannya yang menimbulkan kemarahan Aina tadi. Tetapi sebaliknya
Aina pula memalingkan muka dari kedai tersebut, buat-buat tak dengar sahaja permohonan maaf penjual di gerai itu dan terus sahaja menuju ke perhentian bas yang berdekatan untuk mendapatkan teksi atau bas dan terus pulang ke rumahnya. Nampak biadab sekali perbuatan Aina itu.
Setelah sampai di perhentian bas yang terletak di hadapan sebuah sekolah yang agak berdekatan dengan Taman Tasik Titiwangsa itu, Aina pun duduk untuk menunggu bas atau teksi sambil menikmati makanan ringan yang dibelinya tadi.
“Nyum, nyum, sedapnya, hilang sikit rasa marah aku bila makan benda ni.,” Aina sedang seronok menikmati makanannya serta berkata sendirian di dalam hatinya. Tanpa disedari, sudah 30 minit berlalu begitu sahaja semata-mata hanya untuk menunggu bas atau teksi. Tiada langsung bas atau teksi yang lalu sepanjang penantian Aina di situ.
Lebih kurang hampir satu jam sudah pun berlalu pergi. Masih tiada teksi atau bas yang tiba di perhentian itu. Aina masih duduk menunggu begitu sahaja sambil menikmati juadah ringan yang dibelinya tadi. Nampak khusyuk sekali Aina menikmati makanan ringannya itu tanpa menghiraukan orang lain dan keadaan sekeliling. Gelagatnya itu menjadi perhatian beberapa orang yang sedang menunggu bas atau teksi bersama-samanya disitu.
“Apa tengok-tengok, sibuk je lah! Tak pernah tengok orang ke?,”
Aina yang memang masih sedang dalam keadaan marah itu menyergah beberapa orang yang sedang asyik memerhatikan gelagatnya yang makan dengan agak gelojoh itu. Setelah dimarahi Aina, beberapa orang yang asyik memerhatikan gelagat Aina dari tadi itu pun terus memalingkan muka mereka daripada Aina kerana malu akibat disergah dan dimarahi oleh Aina begitu sahaja.
Sedar tak sedar, lebih kurang lapan pek makanan ringan bersaiz besar pelbagai perisa daripada dua puluh pek yang dibelinya tadi habis dimakannya begitu sahaja! Banyaknya Aina makan. Adakah dia tak risau berat badannya naik mendadak? Mungkin dengan makan sebegitu banyak itu tadi boleh mengurangkan tekanan perasaan yang dialaminya akibat daripada perbuatan Razzi yang tidak berhati perut meninggalkannnya begitu saja itu.
Kelihatan sebuah teksi mula menuju ke arah perhentian tersebut. Sudah sekian lama menunggu, hari pun sudah jauh petang, sudah pun hampir maghrib, akhirnya tiba juga teksi untuk dinaiki pulang ke rumah. Dengan tidak berlengah-lengah lagi, Aina pun segera menahan teksi tersebut secepat mungkin, takut ada orang lain yang akan menahan dan terus mengambil teksi tersebut. Kelihatan teksi tersebut tidak memberi lampu isyarat arah dan memperlahankan kelajuannya untuk berhenti mengambil penumpang walaupun telah
ditahan oleh Aina.
Rupa-rupanya, teksi tersebut telah pun ada penumpang di dalamnya dan sedang menuju
ke destinasi yang diarahkan oleh penumpang tersebut.
“Geramnya! Lambatlah lagi aku nak balik macam ni!,” Aina mendengus bersendirian,
kerana dirasakannya sudah terlalu lewat untuk pulang ke rumah memandangkan hari pun sudah pun hampir senja.
Kelihatan sebuah lagi teksi sedang menuju ke arah perhentian tersebut. Aina pun melambai dari jauh, mengharapkan teksi tersebut segera berhenti ke arahnya. Pemandu teksi tersebut yang terlihat isyarat lambaian daripada Aina itu terus menyalakan lampu isyarat arahnya serta memperlahankan teksinya untuk berhenti di perhentian itu dan mengambil Aina di sana.
“Fuhhh, nasib baik ada teksi. Dapat juga aku pulang ke rumah,” kata Aina di hatinya. Tanpa berlengah lagi, Aina pun terus masuk ke dalam teksi itu untuk pulang ke rumahnya Lega rasanya dapat pulang ke rumah setelah kepenatan di luar sana tadi lebih-lebih lagi kerana bergelut menahan tekanan emosi akibat ditinggalkan oleh bekas teman lelaki kesayangannya sebelum ini, iaitu Razzi.
Tidak lama kemudian, Aina pun selamat sampai ke rumah sewanya. Rumah tersebut disewa bersama dua orang rakan karibnya iaitu Ema yang dikenalinya sejak di zaman sekolah menengah dan Yati, rakan yang dikenalinya semasa bersama-sama menuntut di universiti. Setelah membayar duit tambang teksi, Aina pun terus meluru masuk ke dalam rumah dalam rumah sewanya, dan terus menuju ke biliknya tanpa bertegur sapa dengan Ema dan Yati yang sedang berehat menonton televisyen di ruang tamu. Cuma beberapa pek makanan ringan yang masih tinggal tadi sahaja diletakkan di atas meja dapur.
“Hai Aina, dah balik dah ke? Biasa kalau keluar dengan pakwe kau si Razzi tu lewat malam jugalah kau baru balik,” Ema menyapa Aina.
“Betul jugak tu, aku tengok muka kau sekarang ni pun nampak muram je, kau gaduh dengan Razzi ke?,” Yati pula bertanya kepada Aina. Kedua-dua mereka berasa hairan kerana Aina kebiasaannya akan balik ke rumah pada lebih kurang pukul 10.00 hingga 11.00 malam sekiranya keluar pada waktu petang bersama dengan Razzi .
Aina pula diam membisu, langsung tidak menjawab pertanyaan Ema dan Yati itu dan terus masuk ke biliknya. Sementara itu, mata Yati pula tertumpu kepada sesuatu yang berada di atas meja di dapur rumah sewa mereka.
“Wooww!!! Banyaknya jajan yang kau beli ni, kalau aku nak ambil satu boleh?
Bosan jugak tak ada benda ringan nak makan masa tengah syok layan cerita kat TV ni,” Yati meminta kebenaran kepada Aina untuk mengambil satu pek makanan ringan saiz besar yang dibelinya untuk dimakan semasa menunggu teksi petang tadi.
“Woooiiii!!! Tak boleh! Aku punya semua tu!,” Aina pun memarahi Yati kerana mahu mengambil makanan-makanan ringannnya itu lalu merampas kesemuanya sekali dan kemudian terus membawa semua pek-pek makanan ringan tersebut masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik tidurnya dikunci rapat.
Yati pula tergamam dengan tindakan Aina itu, kelu tidak berkata apa-apa.
“Apasal kawan kita tu, ada masalah ke?,” Ema bertanya kepada Yati.
“Mungkin juga, itu yang angin semacam je. Takutlah aku,” jawab Yati.
Sementara itu, Aina pula berkurung sendirian di dalam bilik tidurnya dan berbaring di atas katilnya sambil termenung, mungkin juga teringatkan peristiwa sedih detik perpisahannya dengan Razzi yang baru saja berlaku dan masih segar diingatannya. Peristiwa sedih lagi pilu pada waktu petang di bawah pokok besar yang teduh di tepi tasik bertempat di Taman Tasik Titiwangsa itu tadi telah menjadi memori pahit di dalam ingatan Aina yang mungkin tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya
0 comments:
Post a Comment