Oleh : Miqael Arshad
MASIH terasa rindu padanya. Masih terasa hangatnya cinta tatkala bermandikan kasih di ruang hati dan perasaan. Hari ini aku kembali sepi. Hidupku ini bagaikan tidak bermakna lagi dan alam ini dirasakan begitu gelap. Sepiku di sini dengan siulan keresahan dan selalu menadah gerimis di tengah lautan. Terpancar seribu kedukaan pada cahaya bulan. Redupnya sinar itu seperti mengerti aku yang ketandusan harapan.
Saat ini ingatanku kembali pada apa yang telah berlaku terhadap diriku… terhadap cintaku… sukar untuk aku melupakan semua itu apatah lagi untuk memadamkannya terus dari kotak fikiran. Ia tidak mudah. Ia terlalu sukar. Aku lemah tanpa suaramu sayang…
Aku termanggu sendiri memandang skrin komputerku. Mataku tertancap tepat pada setiap baris-baris ayat yang ku bina di kala otak ini ligat membacanya semula berulang kali.
Hatiku menangis… kenapa? Hati aku sedih juga kenapa? Semuanya kerana cinta… aku cinta dia.. aku sayang dia! Ah!!
Batinku menjerit sekuat hati. Meraung dan menangisi sebuah kehilangan. Apa sudah jadi pada diriku yang begitu mengharap akan ada lagi insan sepertinya. Akan wujud lagikah seperti dia?
Tiga tahun aku kehilangan cinta sejatiku, aku sendiri. Tiga tahun yang lalu aku menyemai kasih bersamanya, kini aku juga sendiri. Selama tiga tahun itu juga aku bersamanya, aku rindu pada tutur bicaranya.Telinga ini dahagakan panggilan darinya. Mengapa aku rindu? Kenapa? Inikah cinta? Memang!!
Kenangan itu terus menerpa. Segala-galanya berputar bagaikan sebuah filem. Aku dan dia sedang bersama berkongsi cerita dan bergelak ketawa. Di petang itu aku teringatkan dia. Di petang itu aku menangis sendu kerana wajahnya bermain di mata. Aku ke pantai mengamati kenanganku bersamanya. Di malam ini aku menulis cerita tentangnya.
Kala di persisiran pantai yang indah dengan deruman sang ombak mendamaikan. Di senja itu amat cantik melihat matahari terbenam. Romantik aku rasakan. Sememangnya aku adalah seorang lelaku yang romantik. Aku tahu tentang harga diriku walaupun dia sudah tiada di sisi namun kasihnya seakan ada. Ku kuntumkan sebuah kerinduan untuk sang kekasih yang telah membuatkan aku tersenyum dan sedih.
Di situ tersimpul kenangan antara aku dan dia. Di situ juga aku bertemu dengannya. Di situ juga aku menatap wajahnya. Wajah ayunya membuai perasaanku. Suaranya… menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Di sini juga ianya berakhir pertemuanku dengan dirinya.
Cerita tentang aku dan dia…
Masa itu aku menyambut hari kelahirannya yang dua puluh empat. Untuk mendapatkan suasana yang romantik maka di pantai sahaja tempat yang dapat berikan ketenangan pada aku dan dia. Berdua dengannya sungguh mendamaikan. Aku bahagia sekali. Bukan dalam gelap! awas! aku dengan dia di tempat yang terang dan banyak orang. Jangan salah sangka ya.
“Cepatlah potong kek tu sayang… Abang dah lapar ni… tak pasal-pasal abang telan sayang kan,” pintaku sambil memandang ke arah matanya yang begitu cantik berseri selepas selesai menyanyikan lagu ‘selamat hari jadi’ untuknya.
Di waktu itu aku sudah tidak sabar-sabar lagi mahu merasa kek berkenaan namun bukan itu yang aku maksudkan. Cuma mahukan cinta yang romantis bersamanya. Ini sahaja yang mampu aku hadiahkan untuknya. Ini sahaja yang aku ada.
Dia mencebik. Aku hairan kenapa dia yang cantik manis mempamerkan wajah begitu. Wajah yang usang. Wajah yang tidak ceria di saat aku meraikan untuknya.
“Sayang…” aku memanggilnya di kala ini memalingkan wajah.
Aku sudah mula fikirkan yang bukan-bukan. Adakah dia tidak suka pada aku? Mustahil! Dia cintakan aku kerana aku juga cintakan dia.
Panggilanku itu tidak diendahkan. Apa sudah jadi? Sayangku buat hal. Dia sedih ke? Aku tertanya-tanya sendiri kerana aku khuatir ada sesuatu yang telah menyakitkan hatinya. Mungkin dari kesilapanku namun aku tidak pasti.
Semilir angin di kala petang itu mengiringi kesyahduan. Sehebat kicauan sang camar berterbangan itu tidak dapat menyaingi keresahan di dalam lubuk hatiku ini.
“Kenapa tak potong lagi ni?” tanyaku selepas Aina mendiamkan diri.
“Suara abang tak sedap!” katanya mencemikkan bibirnya.
Sedih jugalah mendengar jawapan darinya tetapi aku tetap mempamerkan ketenangan meskipun wujud sedikit rasa terkilan namun aku tidak pernah kesal. Tidak sesekali aku menyesalinya.
“Pulak… abang tak simpan mp3 lagu selamat hari jadi dalam hanphone abang ni ha, ala kira sedaplah kan sebab kawan-kawan abang cakap suara abang macam suara Jamal Abdillah…” ucapku. Keadaan masih tidak berubah. Aina tetap memalingkan wajahnya. “Tahun lepas elok je… tak komen apa-apa pun pasal suara abang… tapi sekarang ni… kenapa?” sambungku lagi.
“Aina nak rasa kelainan… tahun lepas kat pantai.. tahun ni pun kat pantai jugak… erm…” dia berucap dan mengemam pula dihujungnya selepas terdiam untuk seketika.
“Habis tu nak raikan di kelab malam? begitu?”
“Apa abang ni! orang tak bermaksud macam tu pun,”
“Habis tu apa?”
Aina diam.
Aku tidak tahu apa yang bermain di fikirannya saat ini. Sukarnya untuk aku tafsirkan perkara yang lalu. Perkara yang pernah dia lakukan. Namun aku cuba positif kerana aku terima dia. Aku sayang dia dan aku cintakan dia.
“Sayang… bersyukurlah dengan apa yang kita buat ni… kalau sayang merajuk macam ni nampak tua tau… cuba senyum sikit…” aku memujuk dan di dalam hatiku ini mengharap dia terpujuk.
Aina menjuihkan bibirnya tanda protes.
“Aina sayang abang tak? kalau tak sayang abang… abang terjun laut je…” ala-ala mengugut sahaja ucapan aku.
Aina diam lagi.
Ya ALLAH, saat yang tak terduga. Bunyi kentutku yang tiba-tiba itu telah menyelamatkan keadaan, Aina tersenyum sinis nampaknya bila tengok aku ‘cover’ malu bersama wajah yang tak bersalah. Alahai tak tahan siot! malu beb terkentut depan kekasih. Mana nak sorok muka ni?
“Yuckkk!” katanya sambil tutup itu.
Dalam hati aku berharap agar cepat-cepat la angin laut larikan bau kentut itu. Aduhai… kentut jadi satu masalah. Aku cuba menyembunyikan rasa malu itu dengan bermain pasir. huhu.
“Abang ni tak senonoh betul,” ucap Aina yang bersimpuh ayu di atas tikar.
“Maaflah bukan sengaja, skru longgar agaknya…” selorohku.
“Sayang tak pernah kentut ke?” soalku lagi.
Aina yang bermata cantik berona merah pada wajahnya setelah mendengar pertanyaanku.Aku tahu susah dia nak jawab. Soalan cepu emas tu beb!
Dia angguk perlahan tanda jujur. Tipu kalau cakap tak pernah. Manusia yang tak normal sahaja akan cakap ‘tak pernah’ pada soalan itu. Habis cerita fasal kentut sekarang sambung babak seterusnya.
Dalam hati aku memang mengetahui dia begitu cintakan aku. Cuma aku tidak tahu sedalam manakah cintanya terhadap aku. Bagi aku…dia adalah cinta pertamaku dan juga cinta terakhirku. Ya memang dia cinta terakhir aku. Seronoknya aku sambut hari lahirnya di tepi pantai. Aku dengan dia saja. Mana ada kawan-kawan yang lain. Romantiknya… Bagi akulah kan… memang romantik pun.
Hatiku bersorak riang kerana Aina tersenyum tidak seperti tadi sedih sahaja hingga membuatkan aku gelisah. Abab bercinta memang begitu… ada suka dan ada duka.
“Sayang… leh abang tanya?”
“Apa dia?”
“Tapi sayang jangan marah tau… adakah sayang masih teringatkan dia…” tanyaku.
Aina mengerling tidak puas hati agaknya dengan pertanyaan aku itu berkaitan dengan ‘dia’.
Dengan serta merta Aina tarik muka.
Melihat keadaan itu aku terus minta maaf. Aku tahu salah aku sebab mengungkit kisah lama dia. Bukan apa, aku sekadar mahukan kepastian sahaja. Hati orang bila-bila masa sahaja boleh berubah.
“Sayang… dah la tu jangan marah…” aku cuba memujuk namun macam tak diendahkan sahaja. Aina protes sahaja sambil buat muka ketat.
“Mari makan…” aku berusaha sadaya upaya.
“Abang makanlah semua tu! Aina tak nak makan!” rajuknya makin menjadi-jadi.
Aku pun satu hal. Hari ini hari jadi dia kenapa pula aku bikin hal? masalah juga aku ni…
Perkara yang amat sukar bagi diriku adalah untuk memujuk perempuan yang merajuk. Bagaimana pula kalau aku merajuk? Mahu ke dia pujuk aku?
“Rajuk pulak dia ni… meh pandang sini, padang abang… tengoklah wajah abang yang tak hensem ni,” kata ku sambil menyorong pipi untuk menatap wajahku.
Dia ikut sahaja. Lepas itu aku juihkan bibir. Serta merta dia muncungkan mulut dan bulatkan mata. Ekspresi wajah yang paling aku suka tengok. Comelnya….
Aina memang comel. Aku suka. Aku cinta dan aku sayang. Mana ada lagi gadis sepertinya di dalam dunia ini. Dia saja yang dapat cintai aku. Dia mampu buatkan aku bahagia dan dia juga mampu buat aku ketawa. Aku cerita mengenai dia sebab aku tak pernah lupa dia.
“Abang betul-betul sayang Aina tak?”
“Always,”
“Betul ke?”
“Ingat abang main-main ke?”
“Tak adalah sebab Aina takut kehilangan abang… Aina tak sukalah abang sebut benda benda macam tu lagi”
“Abang tak hilang ke mana-mana pun, ada je depan mata sayang, abang janji abang tak akan ungkit lagi tapi…”
“tapi apa?”
“Kenapa bila abang rancang nak masuk pinang sayang… sayang mengelak? macam-macam alasan Aina beri? Sampai bila kita nak macam ni? Abang mahu Aina jadi hak milik abang seorang saja. Kekasih halal abang…”
Aina diam. Dia tidak menjawab pertanyaan aku. Ini yang buat aku rasa tak senang hati. Maklumlah berkali-kali aku ajak dia kahwin tapi alasan yang selalu dia beri, ‘belum bersedia’. Itu saja yang dia tahu.
*
AKU dan dia masih di pantai lagi. Tidak ke mana-mana hanya bersantai sahaja. Cerita ini masih lagi di sini.
Tatkala ini aku hanya mendiamkan diri. Lidahku mula malas hendak berbicara. Diam sahaja dan terus menyepi tanpa suara. Aina juga begitu membisu seribu bahasa. Situasi itu agak lama berlarutan. Hampir setengah jam. Masing-masing melemparkan pandangan ke laut. Deruan ombak memang kuat menghempas pantai. Angin yang bertiup itu menyapa tubuh hingga terasa dingin pula di kala senja begitu.
Makanan yang terhidang masih belum disantap. Mungkin Aina masih berkira-kira agaknya. Bagaimana dengan aku? Sampai bila harus ku tunggu? Sebenarnya diriku sudah tidak sabar-sabar untuk masuk meminang dia. Duit sudah pun aku simpan semata-mata hendak mendirikan mahligai indah bersamanya. Cintaku untuk dia. Hanya Aina ratu hatiku. Aku begitu berharap dialah jodohku. Namun, bila sebut soal berkahwin… dia pasti tersentak.
Mengapa? Inilah yang menghairan aku.
Kek dan segala kuih di hamparan tikar itu tidak diendahkan. Terbiar sahaja. Masing-masing melayani perasaan masing-masing. Lambat-lambat aku menoleh ke arah Aina. Tapi dia masih merenung jauh ke hujung lautan. Apa yang bermain di fikirannya? Pertanyaan aku itu tidak berjawab. Banyak kali aku paksa tapi dia diam juga.
Dia marahkan aku. Ya! Aku tahu dia marahkan aku bila aku ungkit kisah silam dia. Tapi aku hanya mahukan kepastian. Aku tidak mahu serkap jarang. Aku terima dia. Aku redha. Hati aku untuk dia!
Tiada gunanya untukku terus mendesak kerana dia tetap diam sahaja. Bilakah dia akan berkata-kata? aku setia menunggu namun masih sama juga.
Kalau begini, lama-lama bosan pula rasanya. Tapi bukan bosan dengannya cuma aku bosan dengan keadaan ini.
Sehingga sekarang ini aku tidak pernah pegang tangan dia apatah lagi berpaut lengan tatkala berjalan bersama. Memang tak pernah tapi hari itu aku ingat nak pegang tangan dia. Maklumlah syaitan tetap ada. Aduhai! Jauh sungguh pemikiran aku menyimpang.
Alahai tak jadi pula nak pegang tangan dia. Malu pun ada. ‘Aina… betapa aku sayang kau Aina… kalau kau diam begini, aku nak mandi laut dulu… lama tak mandi,’ bisik aku sendiri.
Aku mengangkat punggung. Suka-suka hati tinggalkan dia di situ. Habis… dari dia diam begitu rasanya seronok aku mandi. Sudah lama aku tak mandi laut.
“Abang….” tiba-tiba dia memanggil aku tatkala aku melangkah turun ke pesisiran.
Aku terus menoleh dan berpatah semula.
“Nak mandi laut ke?”
“Ya, kenapa?”
“Tahu ke abang berenang?”
Bunyinya seperti menyindir diriku sahaja.
“Eh… apa hal pulak tak tahu… malulah orang lelaki tak tahu berenang,” aku egois malu nak mengaku tak pandai berenang.
Aku cuba beranikan diri untuk berenang. Laut itu cetek sahaja jadi aku tak perlu risau sama ada aku pandai berenang ataupun tidak. Cuba ombak yang menghempas pantai itu telah membuatkan aku sedikit kecut perut. Sudah namanya bersantai di tepi laut.
Malu sungguh hendak mengaku bahawa aku memang tidak pandai berenang. Kenapa dia memperkecilkan aku degan pertanyaan seperti itu? Sebenarnya aku tidak ingin mandi. Hanya sekadar helah. Aku tahu dia risaukan aku sebab aku sudah beritahu dia di awal-awal dulu bahawa aku takut mandi laut. Hehe…
Aku jadi boring sebab dia mendiamkan diri dari tadi selepas aku bertanyakan akan hal perkahwinan. Setiap kali itu dia mesti diam. Tidak mahu memberikan jawapan.
Mengenai hal tadi dia sebenarnya perli aku! aku tahu. Aku tahu sangat dia memang perli aku. Maklumlah Aina anggota unit bomba dan penyelamat. Perempuan sepertinya merupakan anggota bomba. Aku bangga dengan dia. Ini melambangkan betapa lasaknya dia di sebalik keayuan.
Wajah si ayu yang aku cintai ini memang lasak orangnya. Walau siapa pun dia… dia tetap kekasih aku. Sampai bila-bila pun dia tetap kekasih aku.
“Hari ni hari jadi saya… tak nak awak mandi laut tu… apa kata kita main pasir je,” cadangnya.
“Tak naklah, main pasir tak best, baik main pondok-pondok terus,” ejek aku. Ada ke patut muka tak hensem macam aku ini diajak main pasir. “Sayang…” aku memanggil sambil…. hulurkan tangan.
Eh! aku hulur tangan pulak. Nak ke dia menyambutnya? Nak ke dia pegang tangan aku?
Aina mengerling sahaja.
Entah kenapa aku mula jadi gatal. Aku sendiri tidak mengerti apa yang ingin aku lakukan. Apa yang aku tahu kasih sayang dan cintaku ini memang berbunga-bunga.
Tapi… satu kejutan yang tidak terhingga. Aina menghulurkan tangannya ke arah aku. Jantung aku terus berdebar-debar. Semakin lama samakin deras degupannya.
‘Nak pegang ke tak nak?’ aku berkira-kira.
‘Pegang jelah..’ aku kalah juga dengan bisikan itu.
Inilah kali pertama aku pegang tangan dia selepas dua tahun bercinta. Bayangkan betapa alimnya aku sebelum ini.
Aku lelaki. Aku ada perasaan dan aku pun bernafsu juga. Kalau aku tiada nafsu pada dia alamatnya aku ni tak normal jadinya. Ish! Gila! bukan aku buat maksiat berleluasa di pantai ni… tempat ni ramai orang. Bertenang sudah. Aku takut juga pegang tangan anak dara orang. Hubungan aku ketika itu menjadi rahsia dari keluarganya. Kenapa? Aku pening sendiri.
*
Cerita ini masih lagi di tempat yang sama…
KENAPALAH hubungan antara aku dan dia dirahsiakan dari orangnya? Sampai bila? Adakah aku tidak kacak? Hmm.. memang tak kacak sebagaimana Aaron Aziz. Aku tak kaya ke? lagilah… aku anak peneroka saja.
Dia? Bagaimana dengan dia? Hmm.. dia anak orang senang. Mungkin aku rasa kasih suci aku akan dihalang oleh orang tua. Kebiasaannya yang juga diceritakan di dalam kebanyakkan novel. Cinta tak direstuilah cinta terhalanglah… macam-macam ada bak kata Astro. tiba-tiba Astro pulak. Aku melawak dalam hati aku sendiri sekadar ingin hiburkan hati aku yang gundah gulana ini setelah memikirkan hal ini.
Aina tiba-tiba merenung tajam ke arah aku. Seperti mahu telan diriku sahaja. Dia bagaikan seekor singa yang kelaparan. Apa pula hal kali ni?
“Kata nak mandi… kenapa tak terjun saja?”
Alahai! Dia masih sebut fasal mandi. Aina pantas memahami apa yang berada di dalam hati aku. Sesekali rasa kagum juga.
“Cabar nampak…”
“Mengaku sajalah yang abang tu sebenarnya tak pandai berenang… Abang pernah cakap kat Aina dulu abang memang tak pandai berenang… tapi…” kata Aina dengan ingatan yang cukup kuit. Mana mungkin aku dapat lupakan kata-kata aku yang jujur itu.
“Tapi apa?”
“Malulah kalau kaum lelaki tak pandai berenang,” ucapnya.
Parah! Apa aku hendak jawab?
Mulut Aina memang boleh tahan. Kadang-kadang pedas sahaja.
“Sayang ni suka tau buli abang… taulah awak tu ganas… di sebalik pakaian ayu awak ni tersembunyi sifat kejantanan awak,” Aku kasi dia semula. Balas membalas adegan sakitkan hati masing-masing.
“Hahaha,” Aina gelak. Dia gelakan kekasih sendiri. Tergores seketika hati ini. Tapi tak mengapa… dia adalah kekasihku selamanya.
Aina sudah cabar aku. Rasa dipersendakan pula. Aku fikir dia mahu menguji aku adakah benar aku tahu berenang atau pun tidak? Kena bagi alasan lain ni. Memang aku bagi alasan yang hebat. Tak terfikir oleh orang lain
“Abang sebenarnya boleh berenang, tapi sekarang ni tak boleh mandi…”
“Kenapa? Eleh… masih hendak berdalihlah tu…” katanya lagi.
“Abang lupa la sayang… abang sebenarnya ada bisul… pedih kalau mandi laut ni…”
“Hahaha,’ dia gelak jahat! gelak di hari lahir. Tapi tak apa aku suka tengok dia gelak. Dengar suara dia ketawa dah menghiburkan hati aku.
Biarkan dia bahagia kerana kebahagiaannya adalah kebahagiaan aku juga. Sedih dia… sedih aku juga… kalau boleh aku mahu berkongsi hidup dengan Aina.
“Alasan awak memang tak logik,” katanya yang kemudiannya menjuihkan bibirnya yang merah bak delima merekah itu.
“Kenapa pulak?”
“Mandi laut lah bisul cepat sembuh… kat mana tempatnya bisul tu tumbuh?” Uiks! dia tanya tempat pulak.
Buat dunno sahajalah. Benda tak wujud buat apa aku nak tunjuk. Pelik sahaja Aina ni. Aku cubit pipi dia tu kang! ops! tak boleh! dia suka tarik telinga aku kalau aku cuba buat begitu.
“Abang…” panggilnya lembut. Kalau selembut itu aku suka. Suka dengar.
“Ya…”
Aku rasa dah mula dah babak sedih. Apa dia nak cakap pun aku tak tau masa tu… memang berdebar gila. Maklumlah dia ni memang susah aku nak cakap. Aku kenal siapa dia ni. Aku juga tahu dia perempuan yang jenis macam mana. Aku ni pula memang alim sikit orangnya… Alim kucing! Hakikatnya aku menyedari siapa dirinya. Aku boleh terima diri Aina. Dia mahu buktikan pada aku bahawa dia ingin berubah. Apa salahnya dia hendak berubah. Aku bercinta dengan dia dah dua tahun. Aku lihat dia di depan mata aku memang lain.
Tiada lagi Aina yang pakai seluar jean labuh, baju labuh dan jaket hitam. Aina yang di depan aku ni tak pakai topi lelaki. Abaikan tentang topi keselamatan. Itu memang perlu dipakai sahaja sewaktu dia bertugas namun dia kekal bertudung. Aku suka gaya dia bertudung lintup seperti sekarang. Aku tahu bukan mudah bagi seseorang untuk berubah secara drastik.
“Aina nak tanya abang… kalau kita tak bersatu, bagaimana?”
Ni yang aku tak suka dengar.
“Kenapa? kenapa awak cakap macam ni? Patutlah bila saya ajak awak kahwin awak tak nak! awak nak balik ke dunia lama awak lagi ke? Awak kata awak nak berubah!” aku meluahkan.
Aina diam seketika.
Dia menoleh ke arah lain. Dia tak bertentang mata dengan aku. Kalau benar ucapannya itu maka luluh hati aku. Sedih beb dia cakap macam tu. Aku dah sayang dia aku dah cinta dia sebab dia lain dari yang lain. Aku tak kisah siapa dia sebelum ini. Aku sukakan dia yang sekarang ini. Aku tak peduli cerita silam dia.
Ya ALLAH. Kau tetapkan pendiriannya itu Ya Tuhanku. Jangan biarkan dia ternoda lagi. Aku mencintainya Ya ALLAH. Dia pernah menyelamatkan aku. Bukan senang untuk aku memiliki hatinya. Bukan senang ingin aku dekatinya kalau bukan kehendak-Mu Ya ALLAH.
“Awak… dalam hati saya hanya ada awak… tiada siapa lagi… tidak ada kisah cinta songsang saya… saya dah ada awak… awak selamatkan saya…” luahnya.
“Habis tu kenapa awak kata begitu… saya tak suka awak bercinta dengan kaum sejenis lagi. Saya tak nak tergores hati. Awak kata awak dah bertaubat jadi saya terima diri awak seadanya. Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang,” Aku betul-betul emosi. Aku tidak dapat menerima kenyataan andai kata dia masih begitu.
‘Aina… jangan kau buat begini pada aku Aina… Aku sayang kau sebenar-benar hatiku ini. Dalam hidupku ini cuma ada kau seorang dan aku yakin hanya kau sahaja yang mengeri aku,’ Aku begitu mengharapkannya.
*
SAKIT hati! memang sakit hati aku. Dia minta putus. Memang geram! aku tak faham kenapa dia minta putus! Adakah kekasih songsangnya Armie datang balik dalam hidupnya dan merayu-rayu jangan dirinya ditinggalkan? Ah! tension gila ni.
Aku suka dia bukan sebab dia anak orang senang dan bukan aku nak tumpang senang hidup dia. Aku suka korektor dia tu. Memang aku suka dia… susah hendak aku terangkan. Dia selamatkan aku waktu aku jatuh kemalangan. Dia sahaja yang menolong aku. Orang lain tengok sahaja. Tangan aku patah beb masa kemalangan dulu. Mana boleh kerja berat-berat. Anak peneroka macam aku ni kerja sebagai kerani saja. Kerja menaip data-data sahaja. Senang guna komputer sahaja.
Aku cuba hubungi dia. tapi tak dapat. Aku pergi rumah dia tanya, tapi jawapan sungguh menghampakan. Dia tak nak jumpa aku. Apa ni? Apa salah aku? Di waktu meraikan hari jadinya boleh pulak dia minta putus. Macam apa entah?! tension ni! rasa macam nak tempek puas-puas. Dia tak fikir ke apa perasaan aku?
Rasa macam nak baringkan badan atas jalan raya lepas tu tunggu lori datang gilis. Wei! apa gilanya pemikiran aku ni?! Tak bau Syurga la kalau aku buat kerja bodoh tu dan ikut sahaja apa kata Syaitan yang tak guna tu.
Aku duduk menung sorang-sorang lagi tepi pantai. Memang di situ sahaja tempat aku jiwang karat. Aku tenung laut dalam-dalam. Aku kecilkan mata. Aku nampak pulau… pulau tu kecil sahaja. Rasa nak berenang sampai sana. Kalau kena telan dengan jerung pun tak apa. Aku kecewa sangat-sangat.
Mulai detik itu aku rasa benci dekat dia. Aku menyampah. Perasaan aku seperti dipermainkan oleh tomboy! aku juga yang bodoh sebab layan dia. Aku juga yang tak pandai nak nilai perempuan jenis begitu. Aku tak salahkan diri dia macam tu tapi aku memarahi diriku sendiri.
Tiba-tiba aku terima SMS. Telefon Nokia 6600 aku capai dari kocek seluar denim. Aku nak tahu siapa yang hantar pesanan. Melompat! Sampai melompat beb! Aina hantar mesej. Sebulan aku cari dia baru sekarang dia balas.
Ini tandanya aku masih cintakan dia. Benci macam mana pun aku tetap ada perasaan pada dia. Aku terus tekan untuk baca pesanan itu. Terbeliak biji mata aku. Jantung aku berdegup deras. Rasa mahu gugur saja.
‘Kepada yang mengenali Aina Nadia, dia sudah kembali ke Rahmatullah,’
Ya ALLAH! pesanan apa ni? Aku tak percaya langsung. Hahah! aku tak pecaya! aku tahu ini helah dia. Dia memang sengaja nak jauhkan diri dari aku. Aku gelak puas-puas! hahaha!
Budak kecil bolehlah dia tipu. Dengan aku jangan haraplah. Namun aku tetap ingin tahu…
*
AKU parkir motor Honda Cup aku tu betul-betul depan rumah dia di Taman Indera. Anak orang senang macam dia sanggup kerja jadi anggota bomba. Aku saja nak pastikan betul ke SMS tu. Betul ke dia mati. Aku macam tak percaya saja. Tapi aku mengharapkan sebaliknya. Aku tak nak dia mati. Aku sayang dia. Benar-benar cintakan dia. Itu sahaja yang aku tahu.
Aku tengok rumah dia. Ramai orang. Aku tak yakin dia pergi! ni mesti kenduri kahwin. Mungkin kakak di kahwin kot. Otak aku menerawang lagi. Aku ingat saat indah kala main perumpamaan dengan dia di warung kopi. Dia tak kisah minum di warung dengan aku. Itu yang aku suka tu.
“Sedap air kopi ni…” aku puji air yang dibuat oleh Mak Lemah janda anak tiga.
“Yelah… sedap…” bunyi Aina macam cemburu aku puji orang lain.
“Kalau abang jadi serbuk kopi, sayang jadi gula ya… baru ada manis dalam percintaan,” kata aku selamba.
“Manis ke? nanti kena kencing manis baru tau,”
“Apa kata kalau sayang jadi gula,”
“Tak nak jadi gula!”
“Kenapa? Habis tu nak jadi apa?”
“Susu…” katanya.
Aku tepuk dahi. Susu dengan gula lebih kurang manisnya. Aduhai. Sengaja dia nak main-mainkan aku. Walau waktu dia nampak kasar tapi aku suka dia. ‘Abang sayang awak…’ kata aku dalam hati.
“Awak tak nak kahwin ke?”
“Nak kahwin, tapi bukan sekarang,”
“Kenapa?”
“Kena tunggu kakak kahwin dulu, nanti langkah bendul pulak…” katanya.
Tiba-tiba bahu aku ditepuk, aku tersedar secara dari lamunan. Aku toleh aku nampak Aiman adik kepada Aina depan mata aku. Wajahnya sedih sekali. Matanya merah macam baru lepas menangis. Memang di rumah dia ramai orang. Aku tak berani masuk sebab dia tak jemput aku ke kenduri kahwin kakak dia.
“Abang Hafiz…” dia panggil nama aku.
“Ya dik,”
“Abang tak nak masuk tengok Kak Aina ke?” tiba-tiba dia tanya macam tu. Aku terkejut. Bermakna benarlah SMS itu.
“Kenapa dengan dia?” aku menyoal.
“Abang tak baca ke SMS yang Aiman hantar pada semua kenalan dia menggunakan nombor telefon bimbitnya?”
Aku terkejut! lemah sendi aku. Aku rasa macam nak pitam. Benarkah? Kenyataan ini tidak dapat ku terima. Sukar hendak ku telan pahitnya sebuah rindu kalau orang yang dicintai kini sudah tiada.
Rupa-rupanya memang betul Aina pergi meninggalkan aku… Sungguh tidakku sangka Aina…! Tergamak kau pergi Aina! Kau tak sayang aku! Kau tak cintakan aku!!!!
Ya ALLAH inikah dugaan-Mu padaku? Ya ALLAH besarnya dugaan ini…
*
SUDAH lama dia pergi… Aku mengharapkan rohnya dicucuri rahmat ILAHI. Aku tidak mungkin akan jatuh cinta lagi… biarpun Hilangnya Kasih Suci… aku tetap mencintainya hingga hujung nyawaku.
Tanpaku duga, air mata ini menitis. Hilang sudah maskulin aku sebagai lelaki yang sejati kerana sering saja menangis mengenangkannya. Berkali-kali aku bacakan surat terakhir darinya untukku selepas dia pergi. Aiman berikannya padaku…
Abang Hafiz….
Mengenalimu tidak diduga olehku, mencintaimu pula tidak aku sangka-sangka. Hati ini selalu ingat padamu. Lelaki pertama yang aku cinta dan hanya dikaulah selamanya.
Surat ini untukmu sebagai tanda sebuah kenangan kita… Aina ingin memohon maaf kerana selalu mengelak bila abang sebut mengenai perkahwinan. Aina sayang abang… di hati Aina memang ingin bersama abang, tetapi Aina tak mampu abang….
Sejak mengenali abang… abang ajarkan Aina tentang solat… Abang tunjukkan Aina jalan yang lurus meskipun abang pernah berkata bahawa abang tidak sempurna. Abang juga insan biasa yang banyak kelemahan. Aina tak kisah semua itu. Cukuplah diri ini diterima oleh abang… Dicintai oleh kaum Adam seperti abang amat membahagiakan hidup Aina. Abang menyedarkan Aina. Abang sinari hidup Aina dengan kegembiraan. Tidak akan Aina lupakan hingga hujung nyawa.
Abang…
Aina bukanlah wanita yang terbaik untuk abang, diri ini juga terlalu kotor untuk abang… Aina tak mampu membahagiakan abang di atas noda silam Aina itu. Kehadiran abang dalam hidup Aina telah mendekatkan Aina pada ALLAH pencipta alam ini yang Maha Kuasa penentu segala-galanya.
Aina diduga dengan penyakit kronik bang… penyakit yang tak sesiapa pun inginkan. Maafkan Aina kerana merahsiakannya dari abang. Bila Aina tahi Aina menghidap barah hati, hidup Aina mula kelam. Hidup Aina tak menentu… jiwa Aina… Perasaan Aina mula nanar. Namun teringat pesan abang, segalanya untuk ALLAH. Aina ingat Tuhan.
Doktor kata hidup Aina tak lama. Aina rahsiakannya juga dari keluarga. Aina tak nak keluarga Aina susah hati dengan penyakit Aina. Namun Aina tahu, sampai bila Aina dapat rahsiakannya. Mereka dapat tahu selepas seminggu Aina masa di hospital. Di dalam hospital Aina menulis surat ini untuk abang…
Abang… terlalu sakit bang… sakit teramat sangat. Tuhan sahaja yang tahu. Kala ini Aina sudah tidak bermaya namun Aina gagahi juga untuk menulisnya. Aina tak nak abang sedih. Aina tak nak abang marah Aina. Aina sayang abang… Aina benar-benar mencintai abang… Abang cinta sejati Aina dunia dan akhirat.
Terima kasih kerana luhur mencintai diriku…
Aina Nadia.
L
Tamat
0 comments:
Post a Comment