Oleh Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop
RUMAH banglo dua tingkat. Angin bertiup menyapa balkoni. Panas petang terasa-rasa. Ain menyelak helaian demi helaian novel yang ditatap sejak pukul tiga tadi. Diletakkan sebentar di atas meja. Merehatkan mata. Ain mendepang tangan. Mengeliat. Rambut yang terurai dihembus lembutnya angin.
“Ain, ada surat untuk Ain.”
Ain menjengah ke bawah. Kelibat posmen bermotosikal merah baru sahaja berlalu. Yanti menunjuk-nunjuk sesuatu yang berada di tangannya. Surat untuk akukah?
**************
“Ini untuk cikgu.”
Ain memandang Ipin yang mengunjukkan kepadanya seikat petai.
“Petai?” tanya Ain sambil memerhati Ipin yang kusut-masai. Berkasut selipar, dengan baju sekolah yang sudah kusam.
“Ayah bagi,” jawab anak kecil itu. Tangannya masih menghulur petai yang masih belum diambil Ain.
Ain jadi kasihan. Tangannya lantas menyambut huluran anak itu. “Cakap pada ayah, cikgu ucap terima kasih.” Ipin angguk-angguk.
“Cikgu, terima kasih kerana pujuk ayah saya,” ucap Ipin.
“Sama-sama. Berterima kasih juga pada abang Zehran.”
Ipin angguk-angguk. Kemudian Ipin lari menyertai kawan-kawannya. Mata Ain mengekor setiap langkah Ipin. Budak lelaki berambut kerinting dengan beg kain berwarna hijau tua kelihatan girang apabila menyertai kawan-kawan sebayanya. Ain senyum.
“Membalas budi?” tiba-tiba sahaja Ruqayah menegur. Ain terkejut. Dia menampar lembut Ruqayah. Ruqayah senyum.
“Bukan membalas budi. Tapi berbahasa. Adat memberi dan adat membalas,” balas Ain.
“Masak sambal tumis petai,” Ruqayah memberi cadangan.
“Kau yang masak ya.”
“Kenapa? Orang bandar tak pandai masak tumis petai.”
“Aku orang bandar yang kampung.”
“Apa-apa sahajalah,” balas Ruqayah sambil berlalu meninggalkan Ain yang masih lagi tercegat.
“Aku ajak Zehran makan bersama kita ya. Biar dia rasa sambal tumis petai buatan kau.”
Ain membulatkan matanya mendengarkan kata-kata rakan serumahnya itu.
***************
“Mama menangis?”
Ain hairan melihat mamanya berlinangan air mata.
“Dahulu lagi papa dah beritahu. Tak perlu ambil kursus perguruan tapi Ain degil. Sekarang tengok apa sudah jadi. Bukankah lebih baik Ain uruskan sahaja syarikat papa,” Dato’ Ahmed mencelah.
Ain lihat papanya.
“Oh ini pasal surat tadilah.” Ain mula mengerti kenapa rumahnya kelihatan muram sahaja.
“Tak payahlah pergi Ain. Mama risau. Lagipun tempat yang Ain nak pergi itu pedalaman. Mama takut Ain tak boleh suaikan diri nanti.”
“Mama, Papa, ini tugas seorang guru. Lagipun Ain suka apabila dapat mengajar di sana. Memang sudah jadi impian Ain untuk membantu anak bangsa kita.”
“Suka. Mengajar anak Orang Asli di perkampungan Orang Asli.”
“Mama, Ain ibarat benih. Dihantar ke mana-manapun dia akan tumbuh. Cuma doa mama dan papa sahaja yang berupaya menyiram benih itu untuk tumbuh subur.”
Datin Maria merenung anaknya. Dirangkulnya Ain. Mereka berpelukan. Ain juga menitis air mata.
***************
Masih lagi menggunakan kapur. Papan hitam berlubang sebelah kiri. Kerusi meja berselerakan. Lantainya hanya bersimen. Ain menghulurkan senyuman kepada anak muridnya. Hanya lima orang. Tiga perempuan dua lelaki.
“Bangun. Selamat pagi cikgu.” Seorang anak murid lelaki yang berkulit hitam bangun mengucapkan hormat. Empat yang lain turut mengikut apa yang dikatakan oleh murid lelaki tersebut.
“Selamat pagi,” balas Ain.
Ain ke mejanya yang sedikit berhabuk. “Menyesal? Aku tidak pernah menyesal,” bisik hati kecilnya.
“Mana kapur tulis?” tanya Ain.
Seorang murid bangun. “Kapur tulis dalam meja.”
Ain memandang murid tersebut.
“Kamu Ipin?” tanya Ain lagi.
Murid tersebut mengangguk.
“Terima kasih kerana tumpangkan cikgu semalam.”
*****************
“Kalau begitu kita putus sahaja ikatan ini,” luah marah Imran.
Ain terpana. Tiga tahun bercinta sesenang itu sahaja Imran memutuskan apa yang cuba dipertahankan selama ini.
“Putus disebabkan pendirian aku ini sahaja.”
“Selalunya keputusan kau tidak cocok dengan aku.”
“Hei Imran kenapa selama ini kau tak nampak ketidakserasian kita? Kenapa sejak daripada dulu sahaja kau tidak putuskan ikatan ini?” Ain membalas marah.
“Kau yang tidak membuatkan kita serasi.”
Ain mengetap bibir. Imran sudah melampau. Hanya kerana tindakan aku menerima tawaran mengajar di sana sahaja, Imran terus membuat keputusan sebegitu.
“Kau tahu tentang cita-cita aku kan. Baiklah kalau itu yang kau pinta aku terima keputusan engkau. Di sana ada ramai lagi yang akan menerima kehadiran aku dalam hidup mereka.”
“Carilah Orang Asli sebagai kekasih baru kau,” jerit Imran.
“Jangan menghina, Imran,” kali ini Ain telah kenal wajah sebenar Imran.
****************
Mujurlah beg yang diisi pakaiannya tidak besar. Jadi tidaklah berat sangat beban yang ditanggung. Dia juga bernasib baik kerana telah diberitahu terlebih dahulu oleh guru besar tempatnya akan mengajar. Guru besar itu memberitahu perjalanan masuk ke perkampungan Orang Asli tersebut agak jauh. Jadi, janganlah bawa banyak barang.
Ain berhenti sebentar. Dia duduk pada akar pokok. Ain lihat kasutnya berselut merah. Baju yang dipakainya basah dek peluh.
“Letihnya. Tapi letih lagi aku bercinta dengan Imran selama ini.” Ain senyum sendiri.
Baginya, potret Imran sudah lama dibuang jauh. Dia mahu membina lukisan hidup yang baru. Ain angkat beg. Dia mahu meneruskan perjalanan. Jika dia menunggu petang tentunya panas akan tiba.
Ketika Ain melangkah, sebuah motosikal menghampirinya. Motosikal itu berhenti berdekatan dengannya. Penunggang motosikal yang tidak memakai baju itu berwajah serius. Dia membawa beberapa potong rotan. Seorang anak kecil di belakangnya. Duduk di atas potongan rotan tersebut.
“Pergi mana?” lelaki tersebut bertanya.
“Pergi sekolah rendah sana. Saya guru baru di situ,” jawab Ain teragak-agak.
Tali begnya dipegang erat. Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang buruk.
“Jauh lagi. Kena jalan jauh lagi,” beritahu lelaki itu.
“Tak mengapa,” balas Ain.
“Naik motor.”
“Hah! Naik motor.” Ain terkejut mendengar pelawaan lelaki itu. Naik motor dengan lelaki Orang Asli yang tidak berbaju itu.
“Oh tidak, aku lebih rela berjalan kaki,” bisik hati Ain.
Lagipun mana ada ruang sudah. Motor tersebut telah penuh diikat dengan rotan. Anaknya pun terpaksa duduk di atas batang rotan.
“Eh, tak mengapa pak cik,” Ain cuba menolak apabila lelaki tersebut turun daripada motosikalnya.
Rotan yang dibawanya dilempar ke tanah. Anak lelaki tersebut juga sudah turun. Lelaki itu merenung Ain. Ain jadi takut. Ain tidak selesa.
“Bukan naik dengan aku. Naik dengan dia,” lelaki tersebut seakan mengerti apa yang difikirkan Ain.
“Dengan anak pak cik.” Ain terkejut apabila lelaki itu menunjuk ke arah anaknya yang tersengih sejak daripada tadi.
“Dia pandai bawa motor. Sekolah itu jauh lagi.”
Ain serba salah. Jika sekolah itu jauh lagi dia perlu naik motosikal dengan anak lelaki tersebut. Dia sudah penat berjalan. Anak lelaki tersebut tersengih menunggu dia membuat keputusan.
******************
“Saya Zehran. Renjer hutan di kawasan ini,” pemuda yang berpakaian seragam hijau memperkenalkan diri.
Ain lihat Ruqayah mengerling kepadanya.
“Zehran ini dah lama di sini. Dialah yang menolong aku masa mula-mula datang dahulu,” terang Ruqayah. Ain angguk-angguk tanda mengerti.
“Saya harap Cik Ain tak macam guru-guru lain. Berpindah ke sini kemudian minta tukar sebab tak tahan dengan suasana sekitar. Semua mahukan keselesaan. Saya kasihan tengok anak-anak di sini.”
“Insya-Allah saya akan menjalankan tugas sebaik mungkin,” Ain seolah-olah berikrar sebuah janji.
Zehran tersenyum. Nampak lesung pipitnya. Hati Ain tenang melihat wajah Zehran. Entah kenapa apabila memandang wajah Zehran hatinya menjadi tenang. Semua kesedihan hilang. Dia jadi ralit memandang wajah itu.
Ruqayah berdehem. Ain terkejut. Malu.
*****************
Sudah seminggu Ipin tidak datang ke sekolah. Ain benar-benar resah. Kelas yang lima orang sudah jadi empat orang. Kadang-kadang pernah hanya dua orang sahaja di dalam kelas. Sakitkah Ipin? Hati Ain teringat-ingat. Wajah Ipin yang selalu tersengih dan sering menggaru kepala terbayang-bayang di fikirannya.
“Dia buat perangai lama dia,” Ruqayah menjawab apabila Ain memberitahu permasalahan tentang Ipin sewaktu berada di bilik guru.
“Dulu dia kerap tak datang ke sekolahkah?” tanya Ain.
Ruqayah angguk-angguk. Namun terus menulis sesuatu di mejanya.
“Sejak engkau datang sahaja dia rajin datang. Mungkin dia terpesona dengan kecantikan kau.”
Ruqayah cuba berkelakar namun Ain tidak ambil peduli. Dia teringatkan Ipin.
Ruqayah berhenti menulis. Dia merenung Ain.
“Kalau dia ponteng pun bukan sebab dia yang mahukan begitu.”
Ain pandang Ruqayah. “Habis itu sebab apa?”
“Tenaga mereka diperlukan untuk menolong keluarga. Aku pernah dengan yang si Ipin itu kena tolong ayahnya cari rotan. Aku dengar juga yang ayah dia nak berhentikan sekolahnya.”
Ain merenung jauh ke luar bilik guru. Kata-kata Ruqayah membuatkan hatinya terasa-rasa.
*******************
“Kenapa cikgu suka pandang langit?” tanya Ipin yang datang bertandang ke rumah Ain.
“Sebab langit indah. Ada bintang. Ada bulan,” balas Ain.
Ipin mendongak. Melakukan apa yang dibuat Ain.
“Tapi malam ini tak ada bulan pun.”
Ain pandang Ipin. “Malam ini gelap. Kalau tak ada bulan, bintang masih ada.”
“Langit itu luas. Ipin cuba anggap langit itu sebagai cita-cita. Bukankah ia begitu luas untuk digapai,” sambung Ain lagi.
Ipin diam. Ain tahu Ipin tidak faham dengan apa yang dicakapkan.
“Apa cita-cita Ipin?” tanya Ain.
Ipin termenung panjang. “Emm, nak jadi cikgu macam cikgu juga.”
“Wah bagusnya. Kenapa nak jadi cikgu?” tanya Ain lagi.
“Ipin nak mengajar di sini. Nak bantu orang kampung Ipin. Nak jadi macam cikgu.”
Ain tersenyum bangga. Begitu mulia dan tinggi hasrat anak itu.
“Kalau nak jadi cikgu kena rajin datang sekolah.”
“Emm,” Ipin angguk-angguk. Ain dapat lihat kesungguhan di wajahnya.
********************
“Kenapa pilih kawasan ini?”
“Aku antara manusia-manusia yang terpilih.”
Zehran renung Ain. Ain cuba mengalihkan pandangannya agar tidak bertembung dengan pandangan pemuda itu. Ain malu.
“Kau pula kenapa berada di sini?”
“Kerana kau cintakan hutan. Sayangkan rimba. Di sini aku dapat semua itu.”
“Nak jadi Tarzan ya?”
Zehran ketawa.
“Kalau aku jadi Tarzan, aku mahu kau jadi Janenya.”
Ain diam. Apakah maksud kata-kata Zehran itu?
**********************
“Dia perlu tolong aku. Dia anak sulung kena kerja.”
Itulah jawapan yang diterima Ain tatkala dia berjumpa dengan ayah Ipin, Itam. Mujurlah Zehran sudi menemankan dia mencari rumah Ipin.
Ain bertekad di dalam hatinya. Dia akan cuba memujuk agar Ipin dibenarkan bersekolah semula.
“Ipin budak pandai. Nanti kalau besar dia boleh dapat kerja yang baik,” pujuk Ain lagi.
“Kalau dia pandai, aku tak ada duit nak bagi di sekolah tinggi-tinggi.”
Ain dapat melihat kedegilan Itam.
“Kami Orang Asli hanya perlu hidup macam ini sahaja. Ipin kena tolong aku cari rotan. Kalau tidak siapa yang nak bagi adik-adiknya makan.”
“Pak cik kena fikirkan masa depan Ipin. Pak cik nak lihat Ipin kerja macam pak cik? Bersusah payah masuk hutan. Sedangkan anak orang lain belajar. Pak cik tak cemburu lihat anak-anak orang lain kerja bagus-bagus sedangkan Ipin terus susah seumur hidupnya.”
Entah dari mana Ain mendapat keberanian sebegitu untuk berkeras dengan ayah Ipin. Itam merenung Ain. Ain menguatkan semangatnya. Biarlah apa yang berlaku dia tetap akan memujuk Itam.
“Dia kena tolong aku,” rengus Itam terus berlalu pergi meninggalkan Ain.
Ain memandang Zehran. Memohon simpati.
********************
“Aku pernah terluka disebabkan cinta.”
“Sebab itu kau sampai ke sini?” teka Ruqayah.
“Tidak. Aku memang mahu ke sini. Tapi si dia tidak mengerti dan tidak mengizinkan aku ke sini,” terang Ain.
“Tidak mahu mencari pengganti?”
Ain ketawa mendengar pertanyaan Ruqayah.
“Kenapa kau ketawa?”
“Entahlah barangkali lucu mendengar pertanyaan kau.”
“Lucu?”
“Ruqayah, cita-cita aku mahu membuat jasa untuk penduduk kampung ini terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya nanti ada anak murid aku yang berjaya.”
“Pelik.”
“Kenapa pula pelik?”
“Semangat keguruan kau itu.”
“Tak pelik pun.”
“Ada orang tanya kau.”
“Tanya apa? Kalau bab agama kau lebih bagus. Aku cikgu matematik sahaja.”
“Serius ini Ain. Bukan main-main.”
“Aku pun tak main-main.”
“Ada orang berminat dengan engkau.”
Ain terperanjat. “Siapa?”
“Pemuda berbaju hijau,” Ruqayah berteka teki.
Di fikiran Ain terbayangkan Zehran. Ain mengetapkan bibirnya. Rekahan pintu cintanya dibuka buat kali kedua. Adakah cintanya akan bersemi jauh di pedalaman?
******************
“Zehran mahu berjumpa aku.”
Hati Ain berdebar-debar setelah diberitahu perkara itu oleh Ruqayah. Kata Ruqayah, Zehran ada perkara penting yang mahu diberitahu.
“Adakah kerana pertanyaannya itu?”
Ain teringatkan apa yang telah disampaikan Ruqayah. Zehran berminat dengannya.
“Apakah aku telah bersedia bercinta semula setelah dikecewakan Imran?” Kisah Imran masih menghantuinya.
“Aku datang ke sini kerana satu impian. Impian memberi ilmu.” Ain menggosok-gosok jari jemarinya. Perasaan hatinya berperang-perang.
“Dah lama tunggu?” tiba-tiba suara Zehran menyapa. Ain terkejut.
“Baru sahaja,” jawab Ain ringkas.
“Ada perkara penting?” tanya Ain lagi. Zehran lama diam. Hati Ain resah.
“Saya dah berjaya pujuk Itam. Dia benarkan Ipin sekolah semula.”
Ain memandang Zehran.
“Betulkah apa yang awak cakap?” Ain begitu gembira mendengar perkara tersebut. Walaupun sangkanya Zehran mahu bertanya tentang perkara yang pernah diberitahu oleh Ruqayah.
“Ya.”
“Syukurlah. Terima kasih awak kerana membantu.”
“Sama-sama. Awak kena buktikan yang awak boleh didik pelajar macam Ipin sehingga berjaya.”
“Saya akan buktikan,” janji Ain. Ain bangun.
“Awak nak ke mana?” tanya Zehran.
“Nak balik.”
“Saya belum tanya awak perkara yang penting itu lagi.”
“Tadi, perkara Ipin itu bukan perkara penting yang awak nak beritahu?”
“Ada lagi yang lebih penting.”
“Apa?”
“Saya mahu melamar awak.”
Ain diam. Kelu. Dadanya berdebar-debar.
0 comments:
Post a Comment