My Fellow Followers..Jom Sertai..

Tuesday, January 31, 2012

Tanam Pokok,Bina Rumah...di Syurga..








Bina rumah? Ya, kalau mahu hidup selesa, binalah 'rumah' dari sekarang. Binalah rumah yang kukuh dan tegak...agar tidak mudah roboh. Dan kalau nak bina rumah, sediakan bahan-bahan binaannya yang bermutu tinggi dan pastikan ia mencukupi. Pastikan rumah yang kita bina itu siap sebelum diduduki...apa cerita sebenarnya ni?

Abu Ayub Al-Ansari berkata bahawa pada malam Israk, Baginda Nabi Muhammad S.A.W berlalu melintasi Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada: "Siapakah orang yang bersamamu itu wahai Jibrail?" Jibrail menjawab:" Ini Muhammad." Nabi Ibrahimlalu berkata: "Wahai Muhammad, perintahkan umatmu untuk memperbanyakkan menanam pokok di syurga. Sebab tanahnya subur dan kawasannya sangat luas." Nabi Muhammad S.A.W bertanya: "Bagaimanakah menanam pokok-pokok di sysurga? Nabi Ibrahim menjawab : "Ucapkanlah kalimat 'la hawla wala quwwata illa billah.' (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Syurga ialah tempat kediaman terakhir bagi semua hamba-hamba Allah yang berbakti. Berdasarkan hadis di atas, ia mengisyaratkan bahawa sebenarnya kita sendiri sepatutnya membina kediaman di syurga. Sesiapa yang menginginkan rumah yang megah dengan taman-taman yang indah di syurga, dia boleh mula membinanya dari sekarang. Bukanlah wang ringgit yang diperlukan tetapi amal soleh dan zikir yang dilakukan. Amalan inilah yang menjadi bahan binaan bagi pembinaan rumah dan taman-taman di syurga.

Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Hakim al-Ahmasi : :Aku mendengar bahawa syurga dibangunkan dengan zikir. Apabila zikir itu terhenti maka berhenti jugalah malaikat yang bekerja membangunkannya. Apabila ditanyakan : "Mengapa kamu berhenti bekerja?" Mereka menjawab : " Kami sedang menunggu bahan-bahannya."

Ini bererti, pada saat ini, semua para pekerja binaan sedang giat bekerja untuk membina rumah di syurga. Apabila telah selesai, maka pemiliknya akan dijemput untuk mendiaminya. Alangkah bahagianya bagi orang-orang yang berjaya membina dan menyiapkan rumahnya sebelum dijemput Allah.

Selain daripada itu, terdapat beberapa buah hadis yang mengatakan bahawa pokok-pokok di syurga yang menghiasi taman-taman syurga dibuat daripadamzikir-zikir yang dibaca oleh manusia. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang membaca 'Subhanallah al-azim wa bihamdih', maka akan ditanamkan baginya pokok kurma di syurga."

Zikir bukanlah sekadar aktiviti lisan, bahkan ia meliputi pelbagai aktiviti ibadah dalam segenap urusan harian manusia. Selagi urusan harian manusia itu masih tertakluk di bawah kepatuhan terhadap perintah Allah dan menjauhi laranganNya, maka ia masih dikira sebagai zikir. Bahkan jika diperbanyakkan pula zikir sebagai aktiviti lisan, maka semakin subur menghijau dan rendanglah taman-taman di syurga.

Untuk itu, marilah kita memperbanyakkan ibadah sunnah dan zikir. Dan mudah-mudahan Allah sentiasa meringankan lidah-lidah kita untuk berzikir dan menyebut nama-nama Allah, agar semakin subur menghijau dan semakin indah kediaman kita di syurga kelak. Amin ya Rabbal 'alamin. "Tanamlah pokok dan binalah rumah ......di syurga" Tunaikan yang WAJIB, perbanyakkan SUNNAH dan ZIKIR...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...